136 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi 6P di Melaka


MELAKA – Seramai 136 warga asing termasuk lapan lelaki warga Myanmar yang memiliki Kad ‘Arakan Refugee Relief Commitee' (ARRC) ditahan dalam operasi penguatkuasaan 6P selama 14 jam di sekitar Melaka.
Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) Melaka Abu Bakar Sidek Hasan berkata lapan tukang masak berusia lingkungan 20-an berkenaan ditahan kerana kad ARRC tidak diiktiraf kerajaan sebagai dokumen perjalanan sah untuk memasuki negara ini.
Beliau berkata kesemua mereka yang dipercayai masuk ke negara ini melalui negeri di utara Malaysia ditahan ketika sedang tidur di tingkat atas sebuah restoran di Taman Melaka Raya di sini kira-kira 5.30 petang, semalam.
“Kita hanya mengiktiraf pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya siasatan awal mendapati kesemua mereka yang memasuki Malaysia sejak beberapa bulan lepas dipercayai memperoleh kad ARCC tersebut dari sindiket yang beroperasi di negara ini dengan harga antara RM70 hingga RM200.
Abu Bakar berkata pihaknya turut menahan seorang wanita tempatan berusia 40-an yang merupakan pemilik restoran terbabit bagi membantu siasatan.
Sementara itu, beliau berkata seramai 10 wanita dan seorang lelaki tukang urut warga China berusia 27 hingga 40 tahun ditahan di sebuah rumah urut berhampiran restoran terbabit kerana disyaki memiliki pas lawatan kerja sementara palsu.
Terdahulu, katanya seramai 110 warga asing dari pelbagai negara ditahan di kawasan tapak pembinaan di Ayer Keroh kira-kira jam 3.30 petang.
Katanya seorang lelaki warga Indonesia turut bertindak menyembunyikan diri di dalam sebuah tangki air kosong di tingkat 10 projek pembinaan tersebut namun berjaya ditahan pihak imigresen.
Tujuh lagi lelaki warga asing ditahan di sebuah rumah di Taman Bukit Rambai Jaya di sini kira-kira 12.30 pagi tadi, katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below...

Blogger sahabat

About

ku cinta kau seorang